JOHOR BAHRU, 23 Jan – BERSATU Johor bakal mengadakan mesyuarat untuk membincangkan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

Setiausaha BERSATU Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, mesyuarat berkenaan bakal dipengerusikan Presiden BERSATU yang juga Ketua Badan Perhubungan Negeri BERSATU Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa memantau dengan rapat perkembangan situasi semasa politik negeri.

“Mesyuarat ini akan membincangkan beberapa perkara berkaitan termasuk persiapan dan persediaan jentera bagi menghadapi PRN Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Selain itu, pertemuan dan perbincangan bersama PAS dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selaku komponen dalam Perikatan Nasional (PN) Johor juga akan diadakan bagi tujuan sama,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, BERSATU Johor komited untuk meletakkan soal kemaslahatan negeri dan rakyat sebagai keutamaan sekali gus memberi khidmat demi kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat Johor.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Hasni dalam sidang akhbarnya memberitahu permohonan tersebut dibuat beliau setelah mendapat persetujuan daripada UMNO Johor dan juga pusat.

Katanya, pembubaran DUN Johor bagi pelaksanaan PRN tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri.