KUALA LUMPUR, 24 Jan – Ketua Armada BERSATU, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan, BERSATU tidak pernah gentar bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, ini kerana pihaknya menghormati aturan demonstrasi, maka, akan melawan secara sihat sekiranya ada pertandingan.

“Asas penubuhan BERSATU itu sendiri bertitik tolak daripada kegagalan merawat tubuh politik Melayu dari dalam. Habis dibuang semua doktor yang hendak membantu.

“Akibat sifat Jadong (Jahat, Bodoh, Sombong), segelintir daripada mereka itu masih melata dengan rakusnya pertahankan pengkhianatan yang tidak surut dalam membalun amanah dan harta rakyat khusus tabung dana orang Melayu sendiri.

“Kita hormat aturan demokrasi. Ada pertandingan, kita lawan secara sihat. Menang atau kalah itu adat pertandingan. Namun, yang pasti kami tidak akan sesekali biarkan golongan Jadong ini menginjak maruah Melayu dan negara persis ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi! Konon tidak tahu erti malu malah ujub, riyak dan takbur dengan kezaliman.

“Janji keramat Armada BERSATU tidak pernah luput kerana perjuangan amar makruf nahi mungkar ke atas kleptokrasi belum tamat! Biar kami berputih tulang, tidak sesekali berputih mata,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Dengan keputusan itu, Johor bakal menjadi negeri seterusnya yang akan menyaksikan PRN diadakan selepas Sabah, Melaka dan Sarawak, sebelum ini.