SEGAMAT, 23 Jan – Srikandi BERSATU berharap 30 peratus calon wanita dari parti berkenaan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, walaupun dasar kuota wanita sama ada dalam parti politik, agensi dan sebagainya adalah sebanyak 30 peratus tetapi pihaknya mahukan lebih ramai wanita dalam kepimpinan parti.

“Kita masih belum memutuskan berapa banyak kerusi serta nama calon wanita yang BERSATU akan tandingi kerana hanya mengetahui pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Kami akan melakukan perundingan bersama parti sekutu lain dalam Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat. Ini kerana terdapat 56 DUN di seluruh Johor dan kita akan menghantar nama calon wanita sekurang-kurangnya 30 peratus.

“Kita tunggu kata putus dari pucuk pimpinan parti dan hormati apa juga keputusan yang dibuat nanti,” katanya pada sidang akhbar di Program Penyampaian Kotak Makanan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Kit Dana Kasih di Kampung Spang Loi, Batu Anam pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyerahkan bantuan dalam program berkenaan kepada 126 mangsa banjir di Dewan Kampung Spang Loi, Batu Anam.

Sementara itu, Rina berharap siapa juga calon wanita Srikandi yang bakal bertanding dalam PRN Johor tidak lama lagi mampu memenangi hati semua golongan masyarakat.

“Sebagai Ketua Srikandi BERSATU dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kita mahu letakkan ramai calon wanita. Untuk pemilihan calon ini kita melihat dari segala aspek. Bila kita mahu memilih calon wakil rakyat ini perlu lihat hubungannya dengan rakyat, kelayakan, cara kepimpinan dan pelbagai kriteria lagi,” tambahnya.

Sementara itu, Rina berkata, gerak kerja dan bantuan kepada 37,000 mangsa banjir terkesan tempoh hari telah mencapai lebih 90 peratus.

“Kita juga tidak ada masalah untuk mengagihkan pelbagai bantuan antaranya dapur gas, tong gas juga kotak makanan dengan kerjasama kepimpinan setempat termasuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang turut memberikan sokongan,” katanya.

Menurut beliau, jumlah penerima bantuan JKM di negeri Johor adalah seramai 53,194 penerima dengan peruntukan sebanyak RM261.2 juta.