JOHOR BAHRU, 25 Jan – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan langkah-langkah meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung kelak.

Ketua Armada Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, langkah itu bertujuan memberi jaminan pilihan raya yang lebih adil, telus dan berintegriti.

Jelasnya, ini supaya pengundi lebih yakin PRN Johor akan diadakan mengikut lunas-lunas integriti serta menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Kami melihat masih ada kelompongan atau ruang yang mesti ditambah baik SPR dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan yang bermula daripada sebelum pengumuman tarikh penamaan calon sehingga peringkat pengumuman calon yang menang pilihan raya.

“Armada Johor mahu PRN negeri ini dijadikan penanda aras serta platform memulakan sebahagian daripada aspirasi perubahan dan pembaharuan politik negara yang dicetuskan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami mahu kualiti keadilan, ketelusan dan integriti dalam pilihan raya di negara ini ditingkatkan bermula dengan PRN Johor supaya terhasil sebuah kerajaan yang bermaruah, sifar rasuah serta bebas penyelewengan yang menjadi aspirasi majoriti rakyat di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsuddin berkata, jika proses PRN itu dikaitkan dengan rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, maka dikhuatiri kerajaan yang akan ditubuhkan itu tidak mampu menegakkan prinsip integriti mahupun kedaulatan undang-undang.

Justeru katanya, Armada Johor mahu SPR mengumumkan segera langkah itu menerusi pelbagai medium termasuk di platform media sosial.

Tambahnya, bagi mencapai demokrasi dan kerajaan yang berkualiti, pilihan raya yang dibuat mestilah bersih supaya kemenangan dicapai secara bermaruah, bebas rasuah dan penyelewengan serta tidak memanipulasi jentera atau logistik kerajaan.

“Kami juga berharap badan bebas atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) serta Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik memainkan peranan lebih aktif serta mengemukakan input penambahbaikan proses pilihan raya kepada kerajaan.

“Kami juga berharap jentera Bersatu Johor mewujudkan kaedah pemantauan tersendiri bagi memastikan calon parti sendiri mempamerkan politik yang bersih seiring perubahan dan pembaharuan politik negara yang sedang diperjuangkan Perikatan Nasional (PN),” katanya.