BANGI, 25 Jan – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia boleh diselesaikan dalam masa terdekat.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Zii Jia dan bekas perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei kelmarin, beliau sudah mendapat gambaran jelas berhubung isu berkenaan selain sudah bercakap dengan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Faizal menjelaskan bahawa kedua-dua belah pihak menunjukkan komitmen bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dengan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan berbanding kepentingan individu dan kumpulan.

“Saya sentiasa doakan apa sahaja kemelut, bukan sahaja dalam isu BAM, Zii Jia dan Jin Wei tetapi semua masalah agar semua pihak meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama.

“Jika dapat korbankan kepentingan peribadi dan kumpulan demi negara, banyak masalah boleh diselesaikan. Itu yang sudah saya sampaikan kepada mereka berdua (Zii Jia dan Jin Wei).

“Alhamdulillah saya sudah dapat gambaran agak jelas dan bercakap dengan Tan Sri Norza. Saya nampak kedua-dua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Faizal turut menggesa semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung masa depan Zii Jia sama ada pemain No.7 dunia itu akan pulang ke pangkuan BAM ataupun tidak.

“Macam-macam kita dengar sekarang, ada yang suruh dia balik ke BAM dan ada minta jadi pemain profesional. Perkara ini biarlah pihak BAM bincang dengan Zii Jia kerana kita mahu cari jalan untuk kepentingan negara.

“Zii Jia dan Jin Wei kongsi dua perkara berbeza mengapa mereka mengambil keputusan untuk keluar dari BAM. Ada benda lain turut dibincangkan tetapi tidak manis untuk dikongsi. Saya fikir BAM akan dengar apa yang dibawa oleh mereka nanti,” ujarnya.

Jumaat lalu, BAM membuat keputusan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dan Jin Wei dalam sebarang kejohanan selama dua tahun atas tindakan dua pemain tersebut meninggalkan badan induk itu.

Sementara itu, Zii Jia juga sudah pun menghantar surat rayuan kepada BAM berhubung tindakan tersebut kelmarin dengan badan induk sukan badminton negara itu akan membuat penilaian segera terhadap rayuan berkenaan.