BUKIT GANTANG, 25 Jan – Sebanyak 25,000 pekerja asing berpengalaman khususnya dari Thailand diperlukan untuk mengisi kekosongan pekerja kapal laut bagi menstabilkan bekalan ikan semasa khususnya menjelang musim perayaan tertentu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata ketika tinjauannya di Terengganu baru-baru ini, ramai pengusaha kapal laut mengeluh tidak dapat beroperasi berikutan ketiadaan pekerja khususnya dari Thailand, sekali gus memberi kesan kepada harga ikan dan bekalan ikan semasa.

Beliau berkata, Semenanjung Malaysia mempunyai sekitar 1,000 kapal laut dalam dan setiap kapal memerlukan sekurang-kurangnya 25 pekerja.

Susulan itu, katanya, LKIM sudah membuat permohonan rasmi khususnya kepada Jabatan Imigresen untuk kemasukan pekerja asing bagi membolehkan kapal laut dalam beroperasi segera, namun belum ada sebarang kata putus diterima.

“Justeru, saya berharap pihak Jabatan Imigresen membuka ruang lebih mudah dan mengikut peraturan kepada kru kapal khususnya dari Thailand bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Buku Akaun Tabung Anak Bukit Gantang Dermasiswa Pelajar Matrikulasi, Kolej dan IPT di Dewan Terbuka Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, di sini, hari ini.

Seramai 243 orang menerima sumbangan Tabung Anak Bukit Gantang berjumlah RM83,000 dan 73 pelajar lagi menerima sumbangan dermasiswa berjumlah RM35,000.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, jika Jabatan Imigresen dapat memudahkan urusan kemasukan pekerja asing ini, pihaknya yakin bekalan ikan lebih stabil, selain dapat mengawal harga ikan daripada terus melambung dan membebankan rakyat terutama pada musim perayaan.

“Kita akui berlaku kenaikan harga ikan seperti selayang, kembung, cencaru dan sardin berikutan kekurangan bekalan.

Jadi, LKIM akan terus memantau dan mencari alternatif bagi memastikan harga dan bekalan ikan mencukupi serta terkawal.

“Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina ini, kita membenarkan kemasukan 20 peratus ikan dari negara luar seperti Pakistan, Indonesia, Bangladesh, India dan sebagainya bagi menampung keperluan semasa.

“LKIM juga memberi jaminan ikan sejuk beku di negara ini mencukupi dan pendaratan ikan bagi pemilik vesel yang tidak terbabit perayaan Tahun Baharu Cina juga masih berlaku namun amat kurang,” katanya.