KUALA LUMPUR, 26 Jan – Atlet negara menerima berita gembira hari ini selepas elaun latihan pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA yang sebelum ini dipotong dinaikkan semula.

Timbalan Presiden BERSATU yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan berita tersebut dalam majlis perhimpunan atlet dan jurulatih di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

Jika dulu elaun latihan pemenang pingat perak dan gangsa diturunkan kepada RM800, kini dinaikkan kepada RM1,500 (perak) dan RM1,000 (gangsa) sebulan. Kenaikan itu berkuatkuasa serta merta.

“Ada berita gembira ingin saya sampaikan hari ini. Saya telah mengarahkan MSN untuk segera melakukan penambahbaikan kadar elaun latihan kepada atlet yang terpilih mengikuti program latihan sepenuh masa.

“Ia membabitkan langkah menaikkan elaun latihan untuk pemenang pingat perak Sukan SEA daripada RM800 kepada RM1,500 sebulan. Elaun pemenang pingat gangsa juga kini dinaikkan kepada RM1,000 sebulan berkuat kuasa serta-merta.

“Bagi atlet yang tidak memenuhi kriteria pemilihan untuk dimasukkan ke program latihan sepenuh masa, saya telah meminta MSN untuk terus menghulurkan bantuan setiap kali mereka hadir menjalani latihan secara berfasa,” katanya.

Bagi atlet yang tidak memenuhi kriteria pemilihan untuk dimasukkan ke program latihan sepenuh masa, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) MSN menghulurkan bantuan setiap kali atlet tersebut hadir menjalani latihan secara berfasa.

Biarpun peruntukan Bajet 2022 ditumpukan kepada pelan pemulihan negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19, KBS bersama MSN sentiasa berusaha mencari dan mendapatkan dana supaya perancangan latihan dan kebajikan atlet terus dipelihara.

“KBS telah mengemukakan rayuan permohonan kepada Kementerian Kewangan dan saya sendiri telah berbincang dengan Menteri Kewangan untuk tujuan itu.

“Yakin dan percayalah bahawa kami akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada atlet dan saya harapkan para atlet dapat memberikan semangat juang serta komitmen padu setiap kali turun mengibarkan jalur gemilang di pentas tertinggi.” katanya.

Dalam pada itu, KBS turut menyokong penuh langkah yang diambil MSN terhadap penstrukturan semula program latihan terutama daripada segi memperketatkan kriteria pemilihan atlet untuk tahun ini.

“Kontrak yang ditawarkan kini tertumpu kepada persiapan menghadapi temasya tertentu dan bentuk elaun latihan kembali berpaksikan kepada pencapaian seseorang atlet di temasya yang disertai,” ujarnya.