KUALA LUMPUR, 26 Jan – Keputusan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menarik diri daripada bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak menjejaskan prestasi atau memberi kesan negatif kepada parti itu.

Ketua Penerangan BERSATU Negeri Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, tindakan tersebut sebaliknya mampu menggandakan pengukuhan dan kekuatan jentera parti bagi menewaskan Barisan Nasional (BN).

Katanya, BERSATU Johor yakin sebagai ahli politik dan pemimpin parti berpengalaman mengarahkan pengurusan pilihan raya kecil, PRN serta Pilihan Raya Umum (PRU), Muhyiddin dilihat sebagai pemimpin yang mampu memberi kemenangan kepada calon-calon PN dalam PRN ini.

“Tanpa terikat sebagai calon, Muhyiddin boleh memberi fokus sepenuhnya tugas pengurusan dan operasi jentera PN di seluruh Johor.

“Jadi, inilah kesan positif tindakan Muhyiddin kepada BERSATU Johor dan akhirnya meraih kemenangan dalam PRN Johor dan PRU ke-15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Solihan berkata, Muhyiddin telah meminta kepemimpinan Bahagian BERSATU Ledang menyerahkan senarai calon yang berkelayakan kepada beliau kerana DUN Gambir terletak di bahagian ini.

“Saya sebagai Ketua Bahagian BERSATU Ledang telah mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan Muhyiddin di DUN Gambir, kerana calon ini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi,” ujarnya.