PUTRAJAYA, 26 Jan – Usaha kerajaan menambah baik perkhidmatan pendigitalan sektor awam di seluruh negara menyaksikan berlaku peningkatan baik sepanjang tahun lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hasil pencapaian itu membuktikan hubungan erat daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri.

“Kerajaan Persekutuan juga mengalu-alukan kerjasama dan sokongan berterusan kerajaan negeri,” jelasnya menerusi kenyataan bagi mengulas perkembangan pendigitalan negara ini.

Semalam, beliau julung kali mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) yang turut dihadiri oleh semua Setiausaha Kerajaan Negeri.

Mesyuarat itu menyaksikan EPU di Jabatan Perdana Menteri melalui MyDigital Corporation yang berkongsi kemajuan pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM).

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, semua negeri telah memaklumkan sudah mempunyai pelan ekonomi digital negeri masing-masing yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

“MED4IR negeri bertujuan menyediakan platform agar perancangan dan pelaksanaan inisiatif ekonomi digital dapat diselaraskan dengan lebih teratur dengan persekutuan,” kata beliau.

Majlis itu, ujarnya, turut menjajarkan perancangan negeri dengan RTEDM dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dilancarkan secara maya pada 1 Julai tahun lepas.

Katanya, langkah koordinasi bagi mengelakkan pembaziran sumber akibat pertindihan tugas dan memastikan mekanisme pelaksanaan lebih dekat kepada penerima disasarkan.

Selain itu, MED4IR negeri berperanan menggariskan strategi meningkatkan penerimagunaan ekonomi digital sebagai salah satu pemangkin penting kepada transformasi ekonomi negara. Semua negeri jelas Mustapa, juga telah pun mengiktiraf perkhidmatan telekomunikasi sebagai utiliti awam yang ketiga selepas bekalan air dan elektrik serta memudahcara perancangan.

“Sokongan kerajaan negeri disambut baik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang akan dapat menyediakan perkhidmatan itu lebih menyeluruh di setiap negeri,” jelasnya.

Mesyuarat itu juga menerima maklum kemajuan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (Mampu).