PUTRAJAYA, 27 Jan – Selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bawah 18 tahun sejak 8 September lalu, kini ia bakal diperluaskan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen BERSATU Bagan Serai yang juga Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali sambil berkata, seramai empat juta individu berusia lima hingga 12 tahun akan layak divaksin.

“Dengan ketibaan bekalan pertama esok, pemberian dijangka mula pada 3 Februari dan buat permulaan sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.

PICK mula dilancarkan pada 24 Februari tahun lalu dengan peringkat awal hanya melibatkan petugas barisan hadapan dan individu yang ada masalah kesihatan sebelum diperluaskan.

Ketika itu ia dilaksanakan dalam empat fasa untuk mereka berusia 18 tahun ke atas sebelum fasa kelima yang melibatkan lebih 3.3 juta remaja berusia dari 12 sehingga 18 tahun.

Sehingga semalam, kira-kira 26 juta penduduk negara ini sudah pun diimunisasi dengan 65 peratus daripadanya itu divaksin jenama Comirnaty keluaran firma global Pfizer BioNTech.

Mengulas lanjut, Noor Ghazali berkata, program yang akan dikenali sebagai PICKids itu turut menggunakan vaksin jenis mRNA jenama sama, namun disesuaikan khas bagi kanak-kanak dan vaksin skim itu akan dihantar ke 52 pusat simpanan seluruh negara dan peringkat awal, ia diberi kepada pesakit kanak-kanak di hospital sekitar Lembah Klang.

“Saya ingin menegaskan bahawa ia adalah selamat dan berkesan serta disokong kenyataan dikeluarkan oleh Kolej Pediatrik, Akademi Perubatan Malaysia pada 20 Januari lalu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Khas PICKids menambah, keperluan vaksin untuk kanak-kanak adalah penting untuk Malaysia dapat beralih segera kepada fasa endemik.

Pemberian vaksin untuk golongan kanak-kanak yang tiada masalah perubatan tambahnya, akan dilaksanakan di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi sebelum diperluaskan dan ia termasuk terus ke sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan selain kaedah PPV Offsite, klinik swasta, klinik awam dan program jangkau luar atau outreach di lokasi terpencil.