KUALA LUMPUR, 27 Jan – Majlis Tertinggi (MT) Parti Perikatan Nasional (PN) bersetuju sebulat suara melantik Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari sebagai Ketua Pemuda PN yang baharu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Hamzah Zainudin berkata, mesyuarat MT turut bersetuju melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub sebagai Pengerusi PN Melaka yang baharu.

“Kedua-dua pelantikan tersebut berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan, mesyuarat MT PN berlangsung pada hari ini telah berbincang secara mendalam mengenai situasi politik semasa khususnya berhubung kesiapsiagaan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Katanya, mesyuarat itu telah dihadiri oleh wakil-wakil daripada semua parti anggota PN iaitu BERSATU, Pas, Parti Gerakan, Star dan SAPP.