PAGOH, 27 Jan – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoal tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang mengumumkan keluar parti itu, hari ini.

Muhyiddin turut mempersoalkan di mana letaknya maruah Mazlan yang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018 lalu atas tiket BERSATU ketika itu.

Menurutnya, tiada keperluan untuk mereka bercakap tentang Mazlan yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tebrau kerana kerajaan negeri Johor ketika ini sudah pun dibubarkan.

“Di mana maruah dia dan mengapa dia berkelakuan begini? Mengapa hanya sekarang baharu nak bersuara, atau dia tahu dia tidak akan menjadi calon BERSATU (dalam PRN Johor)?

“Dia (Mazlan) mahu sertai UMNO? Adakah dia ingat UMNO akan lantik dia sebagai calon? Berapa ramai orang yang dibawa sekali, dua? Mengapa tidak 200,000 orang?” soalnya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Perikatan Nasional (PN) di Pejabat BERSATU Bahagian Pagoh, hari ini.

Tambah bekas Perdana Menteri itu, tindakan Mazlan yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor itu tidak lagi relevan.

“Jika dia melakukan perkara ini (keluar BERSATU) sebelum Dewan Negeri Johor dibubarkan mungkin keadaan akan menjadi berbeza, tetapi sebaliknya dia buat setelah ia dibubarkan.

“Kenyataan ini bukan bersifat dendam tetapi dia perlu sedar kedudukannya sebagai Exco kerajaan negeri Johor adalah kerana tiket BERSATU,” jelasnya.

Terdahulu, Mazlan mengumumkan beliau keluar BERSATU berkuat kuasa serta-merta bersama 23 individu lain termasuk yang memegang jawatan sebagai Ketua cawangan dan Ahli Jawatankuasa Bahagian BERSATU Tebrau sebelum ini.

Walaupun tidak akan menyertai mana-mana parti politik buat masa ini namun Mazlan memaklumkan akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).