SHAH ALAM, 27 Jan – Kerajaan dijangka membelanjakan sebanyak RM8 bilion untuk pembangunan di Selangor menerusi Rancangan Boleh Pinda (Rolling Plan) 3 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Jumlah peruntukan tersebut adalah untuk melaksanakan 205 projek pembangunan di negeri ini yang sudah pun diluluskan untuk dibawa ke Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penyenaraian 25 projek itu termasuklah tebatan banjir melibatkan beberapa lembangan di Selangor serta dua projek ‘sakit’ iaitu pembinaan sebuah sekolah di Semenyih dan jambatan di Hulu Selangor.

“Kesan daripada banjir besar baru-baru ini amat kritikal, bukan sahaja kepada rakyat dan penduduk, tetapi juga kepada ekonomi negeri dan negara. Kita mengambil maklum bahawa antara pusat aktiviti ekonomi yang pesat dan banyak industri, sektor perkilangan dan pembuatan di negeri ini dan kepadatan penduduk begitu tinggi.

“Kita juga membincangkan dua projek sakit di Selangor iaitu sebuah sekolah di Semenyih dan jambatan di Hulu Selangor. Pihak JKR dan Kementerian Pendidikan datang untuk memberikan penjelasan mengapa projek ini tertangguh dan langkah-langkah diambil untuk memastikan projek ini disiapkan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor pertama pada tahun ini bagi membincangkan agenda pelaksanaan projek dalam RMK-12 bagi negeri ini hari ini.

Mohamed Azmin menambah, projek-projek yang akan dilaksanakan merupakan hasil rundingan antara kementerian dan jabatan bersama kerajaan negeri termasuk hal berkaitan bencana banjir baru-baru ini.

“Selain itu, kita juga membincangkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam pembasmian kemiskinan, kita mahu melihat satu pengkalan data lebih menyeluruh dapat disiapkan di peringkat negeri dan daerah.

“Kerana apabila keperluan untuk menyalurkan bantuan kepada mereka terkesan, maka kumpulan sasar ini dikenal pasti dan penyampaian itu lebih menyeluruh dan efektif untuk menjayakan dasar kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, “ujarnya.