PAGOH, 27 Jan – Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan agihan kerusi bersama parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh seminggu lagi.

Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu akan dibuat selepas selesai rundingan bersama rakan dalam parti gabungan termasuk PAS serta GERAKAN.

“Kita hampir selesai agihan kerusi, tapi mesyuarat tadi belum selesai dan ada sedikit pertindihan kepentingan antara parti dan soal itu akan diselesaikan pasukan perunding.

“Perkara itu belum dimuktamadkan hingga diselesaikan pimpinan PN masing-masing di peringkat pusat dan saya jangkakan semua ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat PN Johor, hari ini.

Mesyuarat hampir tiga jam itu turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dan Pengerusi GERAKAN Johor, Datuk Teo Kok Chee.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada PN sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Johor, beliau berkata, hingga kini tiada lagi usaha atau gerakan untuk melakukan perkara berkenaan.

“Setakat ini tidak ada lagi ‘move’ terhadap perkara itu, jadi saya tiada apa nak nyatakan perlu atau pun tidak.

“Dalam politik ini, apa saja boleh terjadi dan setakat hari ini tidak ada lagi, tetapi kalau ada akan datang nanti pimpinan parti yang akan putuskan, bukan saya.

“Bukan saya seorang saja untuk membuat keputusan apa nak buat, terima tak terima, tolak dan runding,” katanya.