KUALA LUMPUR, 27 Jan – Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa bahawa ketidakstabilan politik yang berlaku di negara ini adalah disebabkan terdapat pemimpin yang cuba menyelamatkan diri sendiri.

Menurut beliau, keadaan tersebut berlaku kerana sebilangan pemimpin tersebut tidak mahu diri mereka terjerumus dengan masalah yang lebih teruk.

“Keadaan politik di Malaysia berlaku kerana ada sebilangan pemimpin yang mempunyai kuasa percaturan politik di negara ini untuk selamatkan diri mereka sendiri.

“Ada dalam kalangan pemimpin Melayu sedang bermasalah. Dan bagi mengelakkan mereka terjerumus teruk dalam permasalahan mereka, mereka perlu membuat satu perkara bagi membolehkan mereka menggunakan kuasa yang ada.

“Apabila parti dan calon yang dipilih itu menang, tentunya mereka akan menyelamatkan pemimpin ini daripada terjerumus teruk dalam permasalahan mereka. Ini yang sedang berlaku. Saya percaya orang ramai faham akan keadaan ini,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam satu program bersama Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang disiarkan di Youtube BERSATU Online.

Menjawab persoalan tujuan BERSATU ditubuhkan, Ahmad Faizal berkata, parti tersebut dibentuk tepat pada masanya ketika negara sedang dihimpit dengan masalah yang besar.

Jelasnya, sekiranya tidak ditubuhkan, Malaysia sukar untuk diselamatkan dari kehancuran secara keseluruhan akibat daripada sebilangan pemimpin-pemimpin yang bermasalah

“Jadi, pada ketika penubuhannya, para pemimpin Bersatu berhasrat untuk menyelamatkan negara. Pada ketika itu, sebilangan pemimpin utama atau peneraju pengasas parti ini adalah di antara mereka yang berada di dalam parti UMNO.

“Mereka melihat pada ketika itu UMNO seakan-akan tidak dapat menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyelamatkan negara dalam kehancuran akibat daripada isu 1MDB dan sebagainya.

“Jadi, tatkala itu kita perlu cari jalan untuk selamatkan negara. Tiada jalan lain, BERSATU terpaksa ditubuhkan bagi mewakili kaum terbesar di negara ini iaitu Melayu dan peribumi,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ahmad Faizal berkata, parti tersebut terbuka untuk sebarang kerjasama yang ingin dijalinkan oleh parti lain bagi mencapai misi dan membawa agenda perjuangan agama bangsa serta tanah air.

“Ini adalah bagi meningkatkan syiar Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mempertahankan kedaulatan negara kita. Kalau ada yang nak sambut tangan kita, kita bekerjasama untuk Malaysia,” katanya.