PAGOH, 27 Jan – BERSATU, PAS dan Gerakan mencapai kata sepakat bertanding kali pertama di atas nama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan membuat tawaran baharu pembangunan berteraskan nilai kepada Bangsa Johor.

Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyertaan pada PRN kali ini bagi menawarkan apa yang difikirkan wajar di atas sikap dan prinsip keprihatinan parti itu untuk membantu mempercepatkan pembangunan sosioekonomi, pendidikan dan lain-lain seiring aspirasi Bangsa Johor.

Katanya, PN telah menubuhkan jentera pilihan raya dan akan diperkukuhkan lagi bagi memastikan keupayaan serta kecekapannya membawa mesej tawaran baharu untuk disampaikan kepada akar umbi Bangsa Johor dan supaya PN diberi kepercayaan mentadbir negeri ini selepas pilihan raya.

Menurut beliau, PN memahami dan tahu aspirasi Bangsa Johor apabila hendak membawa satu arus pembangunan berdasarkan kepada sistem nilai yang tersusun, efisyen dan produktif berteraskan kepada prinsip yang diperjuangkan parti itu.

“Apa yang telah saya dan PN tunjukkan iaitu ketelusan, akauntabiliti, menentang salah guna kuasa, menentang rasuah secara habis-habisan di samping itu tidak ada penyalahgunaan kuasa dan menegakkannya berdasarkan apa yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor dan Perlembagaan Malaysia,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Perikatan Nasional Negeri di sini, hari ini.

Muhyiddin menegaskan, PRN Johor adalah penting sebagai medan untuk PN memberitahu Bangsa Johor bahawa parti itu tidak akan bersama dengan pihak seperti kumpulan ‘kluster mahkamah’ yang berhadapan hukuman atas pelbagai kesalahan berkaitan rasuah.

“Bagi saya, ini adalah penting kerana kita bukan nak kejar pembangunan material. Kita nak tentukan ada tadbir urus yang baik yang boleh memberi faedah dan nikmat lebih besar. Supaya memelihara harga diri dan nilai hidup Bangsa Johor. Tawaran kami adalah untuk masa depan Bangsa Johor,” katanya.

Mengenai PN, Muhyiddin berkata, persefahaman yang terjalin dalam gabungan itu sehingga ini masih utuh dan kukuh sekali gus tidak ada sebarang masalah.

“PAS juga masih utuh dan kukuh dalam Perikatan Nasional. BERSATU pun begitu. GERAKAN pun begitu. Parti-parti SAPP dan STAR pun begitu… tidak berubah,” katanya.

Mesyuarat sama turut memperincikan mengenai pelancaran PN Johor, program melibatkan golongan muda serta memuktamadkan kaedah mendapatkan sokongan dan undi pengundi baharu.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut memberitahu, mesyuarat sama membincangkan soal strategi, manifesto dan kedudukan PN sebagai ‘underdog’ serta tidak akan memberi jalan mudah kepada UMNO.

Mengenai calon PN yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang beliau kosongkan, Muhyiddin berkata, sudah ada pemimpin muda yang boleh diketengahkan.

Ditanya mengenai agihan kerusi dalam PN, beliau berkata, perkara itu akan dimuktamadkan dalam tempoh seminggu ini.