JOHOR BAHRU, 28 Jan – Pembubaran Dewan Negeri Johor dengan alasan memulih ekonomi dan memajukan negeri hanya untuk menyingkirkan Perikatan Nasional (PN) terutama BERSATU dari Kerajaan Negeri Johor.

Ketua Penerangan BERSATU Negeri Johor, Mohd Solihan Badri berkata, tindakan UMNO menggunakan alasan tersebut disifatkan sebagai remeh dan tidak masuk akal bagi sebuah parti yang berusia lebih 70 tahun itu.

Menurutnya, PN digambarkan menjadi punca kemerosotan ekonomi negeri, meskipun barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor dari BERSATU sentiasa bekerja keras membangunkan negeri dan menyokong aspirasi Bajet Johor 2022.

“Saya nak komen pasal nak pulihkan ekonomi. Jangan kelirukan rakyat. Saya juga Ahli EXCO (Kerajaan Johor) dan ada data. PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang menyebabkan kita terjejas dari segi ekonomi dan pelaburan.

“Ramai rakyat kita tidak dapat bekerja di Singapura. (Warga) Singapura tidak dapat masuk ke Johor Bahru, sebab itu banyak kedai dan restoran ditutup,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tulisan pada kain rentang tertera ‘Matlamat BN: Majoriti 2/3, Maju Negeri, Pulih Ekonomi’ ketika sesi fotografi kepimpinan tertinggi dan ketua-ketua bahagian UMNO, baru-baru ini.

Mohd Solihan yang juga Ketua Penerangan PN Negeri Johor turut mempersoalkan jumlah pelaburan berjaya dibawa masuk oleh kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar dari UMNO, Datuk Hasni Mohammad.

“Sejak dia pimpin pun, berapa banyak pelaburan yang dia berjaya bawa masuk? Jadi bukan satu alasan yang kukuh untuk pulihkan ekonomi (dengan membubarkan Dewan Negeri Johor untuk memberi laluan PRN).

“EXCO dan wakil rakyat PN komited menyokong serta mendukung kerajaan negeri diterajui Menteri Besar dari UMNO. Dalam banyak perkara kritikal pun, wakil pembangkang turut bersama kerajaan negeri termasuklah menyokong kelulusan Bajet Johor 2022,” katanya.

Ketua BERSATU Bahagian Ledang itu berkata, belanjawan negeri dan persekutuan banyak diperuntukkan untuk membantu rakyat, menyokong komuniti perniagaan dan melaksanakan pemulihan ekonomi susulan implikasi COVID-19.

“Kami akur, situasi ini mendorong proses pembangunan menjadi perlahan, manakala pertumbuhan ekonomi terjejas. Tapi, janganlah gambarkan PN menjadi puncanya,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu kekesalan BERSATU terhadap UMNO yang membelakangi prinsip perkongsian kuasa bersama PN dalam kerajaan negeri terutama berkaitan keputusan membubarkan Dewan Negeri Johor sekali gus menyifatkan tindakan tersebut sebagai menguntungkan sebelah pihak.