KUALA LUMPUR, 29 Jan – PAS dan BERSATU dengan penuh kesungguhan dan iltizam hari ini menetapkan tujuh resolusi bersama bagi mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, resolusi itu hasil Muzakarah PAS-BERSATU selama dua hari yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang serta barisan kepemimpinan kanan kedua-dua parti.

“Pertama – Mencapai persetujuan atas perkara yang disepakati iaitu mendukung prinsip bersama di atas nilai integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif.

Seterusnya, menuju visi dan hala tuju bersama ke arah mengukuhkan Perikatan Nasional, menolak budaya politik ekstrem dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua – Memperhalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan Perpaduan Ummah dan Nasional merentasi platform bukan politik, berteraskan nilai kepercayaan bersama (mutual trust) dan perkongsian saksama (equal partnership).

Muhyiddin berkata, resolusi ketiga – Melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.

“Keempat – Mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan ‘undi penentu’ dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda, melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diiterima rakyat.

“Kelima – Memperkukuhkan jalinan jalinan kerjasama PAS dan BERSATU sebagai ‘satu pasukan’ sehingga jentera akar umbi.

“Keenam – Mempertegaskan sokongan PAS dan BERSATU dalam Kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi, di atas nilai integriti, anti-rasuah dan berkebajikan.

“Bagi resolusi ketujuh, kedua-dua parti sepakat – Menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai Perikatan Nasional,” kata beliau lagi.