PUTRAJAYA, 29 Jan – Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Belia dan Sukan kini sedang membangunkan Program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID KPM-KBS) bagi mencungkil bakat sukan daripada peringkat awal kanak-kanak.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, usaha dan pendekatan itu penting bagi memupuk budaya sukan pada peringkat awal.

“Pembangunan bakat sukan daripada peringkat awal anak-anak sememangnya menjadi tumpuan Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Belia dan Sukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Perkara berkenaan adalah antara dibincangkan bersama Timbalan Presiden BERSATU yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika pertemuan di pejabatnya semalam.

Radzi berkata, pertemuan itu turut membincangkan perkara berkaitan pembangunan belia dan sukan yang melibatkan murid serta guru.

“Kami turut bincangkan kaedah untuk mengoptimumkan penggunaan fasiliti sukan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan. Aspek pembangunan belia turut perlu diberi perhatian bagi melahirkan generasi pemimpin negara yang berwibawa,” katanya.

Katanya, semoga usaha dua kementerian ini melalui pelbagai pendekatan strategik dapat melahirkan belia negara yang cemerlang serta memajukan sukan untuk seluruh rakyat dapat direalisasikan sepertimana yang dirancang.