JOHOR BAHRU, 30 Jan – “Dia kata keluar bersama 23 orang ahli daripada Bahagian Tebrau, tetapi selepas kami lakukan soal selidik, hanya enam orang yang keluar parti bersama dia”.

Demikian tegas Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Kamaruzzaman Abu, menjawab mengenai dakwaan bekas ketua bahagian itu, Mazlan Bujang.

Mazlan dalam sidang akhbar tergempar kelmarin mendakwa, beliau mengumumkan keluar daripada Bersatu bersama 23 individu lain dan akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Kamaruzzaman yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tebrau berkata, dakwaan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri itu adalah tidak benar.

“Kita juga masih kekal utuh dan komited untuk memperjuangkan nasib rakyat khususnya di kawasan ini.

“Walaupun kesal dan kecewa dengan tindakan diambil Mazlan untuk keluar daripada parti, kami tetap setia dengan kepimpinan negeri dan pusat iaitu Tan Sri Muhyiddin dalam menerajui parti ini,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Bersatu Bahagian Tebrau di sini hari ini.

Menurut Kamaruzzaman, pihaknya menolak alasan diberi Mazlan bahawa tindakannya keluar Bersatu adalah kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan pusat sebaliknya ia lebih kepada langkah politik.

“Jika betul tindakan itu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, persoalannya mengapa sekarang? Mengapa dia tidak keluar parti sejak dahulu lagi tetapi sebaliknya hanya menunggu apabila kerajaan negeri sudah membubarkan DUN baharu hendak berbuat demikian?

“Ternyata ini lebih kepada langkah politik, dan saya juga tidak tahu sama ada dia ada menerima sebarang tawaran untuk berbuat demikian atau tidak,” jelasnya.

Beliau berkata, Mazlan sendiri menolak untuk disenaraikan sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

Jelas beliau, pihaknya telah membuat cadangan berkenaan sebanyak beberapa kali sejak Januari tahun lalu, namun Mazlan tetap berkeras menolak namanya untuk disenaraikan.

“Bahagian telah mencadangkan nama beliau untuk disenaraikan sebagai calon Bersatu bagi kerusi Parlimen Tebrau dan juga kerusi DUN Tiram sejak Januari 2021, namun dia menolaknya.

“Setiap kali cadangan itu diutarakan, dia tetap menolak dan berkeras untuk tidak dicalonkan semula,” katanya.