JOHOR BAHRU, 30 Jan – Tindakan bekas Ketua Bahagian BERSATU Tebrau, Mazlan Bujang meletakkan jawatan dan keluar daripada parti dipercayai satu langkah politik.

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Tebrau, Kamaruzzaman Abu berkata, Mazlan seharusnya mengambil tindakan itu lebih awal sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, Mazlan juga berulang kali menolak untuk menjadi calon kerusi Ahli Parlimen Tebrau dan DUN Tiram sejak 1 Januari lalu, untuk persediaan bahagiannya itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sebelum pengumuman PRN.

“Kalau kata tidak ada kepercayaan (terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin) kenapa tidak bertindak keluar lebih awal daripada yang berlaku sekarang.

“Apabila berlaku PRU atau PRN, maka berlaku perkara seperti ini (keluar parti),” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Sementara itu, Kamaruzzaman turut mempersoalkan mengenai kenyataan Mazlan seramai 23 ahli jawatankuasa Bahagian BERSATU Tebrau turut sama mengikut jejak langkah keluar parti, serta meletakkan jawatan.

Beliau berkata, hanya enam saja ahli jawatankuasa yang berbuat demikian dan setakat ini BERSATU Bahagian Tebrau mempunyai seramai 3,425 ahli di 17 cawangan.

Kamaruzzaman berkata, meskipun kecewa dan kesal atas tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, pimpinan BERSATU Bahagian Tebrau tetap teguh dan setia bersama parti di bawah pimpinan Muhyiddin.

Pada Khamis lalu, Mazlan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bahagian BERSATU Tebrau dan keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu dipetik sebagai berkata turut sama meletakkan jawatan ialah 22 Ahli Jawatankuasa BERSATU Tebrau.