PAGOH, 30 Jan – Ketua-Ketua Penerangan BERSATU bahagian dalam kawasan utara negeri Johor sebulat suara membuat ketetapan menyokong penuh Resolusi Muzakarah PAS – BERSATU menyertai pilihan raya negeri Johor atas nama Perikatan Nasional (PN).

“Kami mengutuk tindakan tidak bermaruah dua orang mantan ADUN BERSATU yang keluar parti selepas DUN Johor dibubarkan.

“Tindakan mereka ini sudah dijangka, serta tidak menjejaskan perpaduan BERSATU Johor dan ukhuwah PERIKATAN NASIONAL,” kata kumpulan berkenaan dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandangani oleh Ketua Penerangan BERSATU Pagoh, Ketua Penerangan BERSATU Ledang,Ketua Penerangan BERSATU Labis, Ketua Penerangan BERSATU Muar, Ketua Penerangan BERSATU Bakri, Ketua Penerangan BERSATU Batu Pahat, Ketua Penerangan BERSATU Sembrong, Ketua Penerangan BERSATU Segamat, Ketua Penerangan BERSATU Sri Gading dan Ketua Penerangan BERSATU Air Hitam.

Malah, kumpulan berkenaan juga mencadangkan agar semua pihak khususnya parti politik di negeri Johor merangka strategi ampuh bagi menggagalkan muslihat UMNO dan Barisan Nasional yang dilihat semakin rakus, tamak kuasa dan gelojoh ingin mengadakan pilihan raya di negeri Johor tanpa mengambil kira kesukaran yang dialami oleh rakyat ketika masih berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19.

Sebelum ini, bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad mengumumkan keluar BERSATU serta-merta pada Rabu dan Sabtu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua mereka yang masing-masing merupakan Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya serta Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor turut memberitahu tidak meyakini hala tuju parti berkenaan.