KUALA LUMPUR, 30 Jan – BERSATU sentiasa terbuka dan komited untuk memastikan perpaduan terjalin dan sebuah kesatuan yang kukuh diwujudkan.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata parti itu sejak 2020 lagi telah bersetuju menerima jemputan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

“Tetapi yang memerangi kesatuan ialah kluster mahkamah dalam UMNO. Mereka lah yang menghasut UMNO untuk menutup pintu kepada perpaduan dan sehingga hari ini mereka seolah-olah menunggang UMNO untuk menyelamatkan diri sendiri.

“Padahal dalam UMNO ramai yang ikhlas mahukan perpaduan dan kesatuan,” katanya dalam kenyataan hari ini ketika mengulas Muzakarah PAS Bersatu selama dua hari berakhir semalam, yang turut dihadiri beliau.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata penyokong kluster mahkamah secara berjemaah mengambil tindakan memaksa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, setelah bersekongkol menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Perak.

“Mereka berpakat menolak kesatuan dalam PRN Melaka. Dan penyokong kluster mahkamah juga dengan licik merancang pembubaran DUN Johor dalam kerakusan memburu kuasa di Johor juga.

“Jadi, kalau ada yang berkongsi impian kita mahu melihat kestabilan dan kesatuan politik, sila tanya dengan UMNO kenapa mereka benarkan kluster mahkamah menguasai parti mereka sehingga berlaku pergolakan berterusan politik negara,” katanya.

Menurutnya, BERSATU sudah bersusah payah membina kesatuan supaya negara ini stabil.

“UMNO mesti jawab kenapa mereka begitu rajin meruntuhkan kesatuan yang telah kita bina dan kenapa UMNO begitu tamak mahu membolot kuasa.

“Adakah kluster mahkamah mempunyai kuasa yang begitu besar dalam UMNO sehingga UMNO sudah lari dari matlamat dan tidak peduli lagi dengan kestabilan politik Melayu?,” katanya.

Wan Saiful berkata BERSATU kesal dengan kerakusan kluster mahkamah dalam UMNO yang secara aktif menutup pintu perpaduan dan menggugat kestabilan politik.