PETALING JAYA, 30 Jan – Srikandi BERSATU sudah menyerahkan 15 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketua Srikandi BERSATU Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata beliau berharap calon wanita berkenaan akan diberi peluang dan ruang sewajarnya oleh pucuk pimpinan untuk dipilih mewakili parti.

“Kita sudah serahkan nama 15 calon wanita untuk PRN Johor.

“Terserah kepada Presiden (Muhyiddin Yassin) dan pucuk pimpinan untuk membuat keputusan. Namun saya percaya wanita akan diberi ruang dan peluang sewajarnya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) Persatuan Kebajikan Chen Ai, sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Rina berkata, jentera parti juga sudah digerakkan untuk menghadapi PRN Johor yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Feb nanti.

“Kami di Srikandi akan menunggu ‘signal’ (isyarat) dari pucuk pimpinan untuk langkah seterusnya. Di peringkat Srikandi pula, kami juga telah bermesyuarat. Jentera parti telah digerakkan,” katanya.