JOHOR BAHRU, 30 Jan – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad yang mengumumkan keluar BERSATU tidak memberi kesan kepada parti itu.

Ketua Penerangan BERSATU Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, tindakan itu dilihat tidak lebih sekadar daripada memenuhi kehendak pihak ketiga yang mahu melemahkan semangat Bersatu.

Katanya, alasan diberi iaitu hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak berasas.

“Beliau berbuat demikian (keluar parti) kerana menganggap Perikatan Nasional (PN) akan tewas dalam PRN Johor sekali gus hilang jawatan Exco dan lantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat kerajaan negeri (GLC).

“Justeru, Mohd. Izhar beranggapan dengan keluar Bersatu, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi Exco adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin atau bertanding di mana-mana kerusi lain.

“Sebaliknya, tindakan dan dakwaan Mohd. Izhar mencetuskan pelbagai persepsi negatif sekali gus bakal memakan diri beliau sendiri kerana dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri itu mengumumkan keluar Bersatu serta merta dan menyokong Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor.

Mohd. Izhar berkata, beliau hilang keyakinan kepada presiden parti dan Bersatu yang didakwa telah hilang hala tuju asal perjuangan parti sekaligus dilihat gagal.

Sementara itu, ujar Mohd. Solihan, jika benar BERSATU telah hilang hala tuju, Mohd. Izhar boleh membuat teguran daripada dalam parti bagi memperbaiki keadaan.

“Malah amat mengelirukan apabila Mohd. Izhar mendakwa prestasinya sebagai wakil rakyat dan Exco berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sedangkan beliau adalah wakil BERSATU iaitu parti yang didakwa hilang arah dan gagal.

“Beliau juga silap besar apabila mendakwa Muhyiddin gagal selepas berpisah dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini kerana Ahli Parlimen Pagoh itu telah dilantik menjadi Perdana Menteri dan melaksanakan pelbagai tindakan untuk kesejahteraan rakyat termasuk melaksanakan inisiatif membendung pandemik Covid-19 dan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Oleh itu, bagaimana Mohd. Izhar melihat dan menilai Tan Sri Muhyiddin sebagai gagal selepas Tun Dr. Mahathir keluar BERSATU?” soalnya.