PENGALAMAN MESYUARAT KHAS EXCO KERAJAAN NEGERI JOHOR 22 JANUARI 2022

MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, tidak menzahirkan apa-apa pun penghargaan walau sepatah ucapan terima kasih kepada barisan Ahli Exconya ketika Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri Johor yang terakhir pada 22 Januari 2022 lalu.

Sebagai seorang Exco dan insan biasa, sikap mahupun tindakan Menteri Besar itu disifatkan tidak manis kerana detik-detik terakhir dalam kerajaan negeri wajar diakhiri dengan sesuatu yang boleh dijadikan kenangan manis apatah lagi Menteri Besar menerajui kerajaan negeri pun dengan sokongan padu wakil Perikatan Nasional serta Pakatan Harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Senario ini dengan jelas menunjukkan bagaimana sikap pemimpin UMNO yang tidak tahu atau mungkin tidak mahu menghargai sokongan diberikan parti ‘lawan’ yang bersikap terbuka untuk menyokong dan bekerjasama semata-mata demi kepentingan rakyat Johor serta kestabilan politik negeri.

Inilah sisi lain sikap pemimpin UMNO Johor, dan kerana tekanan pihak tertentu dalam parti sendiri, sanggup mengkhianati prinsip perkongsian kuasa, sokongan dan komitmen Perikatan Nasional walaupun ia tidak dimeterai secara bertulis.

Sebaliknya, Perikatan Nasional tidak pernah mengkhianati integriti politik dan kepercayaan yang diberikan UMNO kerana menyedari tindakan mencabul ikatan janji tersebut akan disifatkan sebagai pengkhianatan serta mementingkan diri sendiri.

Di Johor, kita ada seolah-olah satu memorandum persefahaman tetapi memang kita tidak tandatangani apa-apa dokumen bagi memegang janji tersebut. Ia melibatkan parti komponen atau pembangkang. Jadi, sebagai parti komponen dan Exco dalam kerajaan, kita sentiasa sokong Menteri Besar. Dalam DUN Johor pun pembangkang menyokong Menteri Besar dan Speaker DUN pun sokong beliau.

Sokongan ini kerana kita mementingkan soal rakyat Johor. Tetapi bila nak bubarkan DUN, UMNO tak pernah minta pandangan kita pun. Malah tidak ada pun sepatah kata ‘terima kasih’ kepada Exco beliau ketika Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri pada hari tersebut, apatah lagi beliau nak minta pandangan kita. Itulah sikap mereka.

Pada masa sama, saya nampak Menteri Besar membuat kenyataan dalam keadaan tertekan seolah-olah pada hari itu beliau mungkin tak nak bubar (DUN) tapi pihak lain (mahu berbuat demikian).

Kenyataan ini adalah untuk mengaitkan bagaimana senario sama turut berlaku dengan Kerajaan Pusat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, diangkat menjadi Perdana Menteri juga dengan sokongan dan prinsip perkongsian kuasa oleh Perikatan Nasional demi kepentingan rakyat.

Malangnya, apabila UMNO menguasai semula tampuk Kerajaan Persekutuan, pemimpin tertentu parti itu serta-merta melancarkan pelbagai tindakan dan fitnah untuk menolak Perikatan Nasional termasuk memutuskan kerjasama sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan mengadakan PRN untuk menyingkirkan Perikatan Nasional.

Sehubungan itu, BERSATU meminta rakyat menilai sikap negatif pemimpin UMNO itu yang dengan mudah mempermainkan kepercayaan dan mengkhianati perkongsian kuasa yang dipersetujui.

Sepatutnya, pengundi terutama orang BN dan orang Melayu faham bagaimana sikap pemimpin mereka. Memang (sokongan) penyokong BN dan UMNO susah hendak diubah tapi sekarang ini pengundi generasi muda berumur 18 tahun ke atas sepatutnya melihat sikap pemimpin UMNO yang tidak mempunyai integriti politik sekali gus membuat penilaian dengan perspektif yang berbeza.

Akhirnya, Perikatan Nasional Negeri Johor mahu mengulangi keyakinan akan mendapat sokongan yang sangat besar daripada pengundi dan akan membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor nanti. Kita tidak boleh lagi membenarkan pemimpin UMNO dengan sifat-sifat negatifnya, cara pemikiran pemimpinnya serta sikap buruknya apabila berkuasa.

MOHD SOLIHAN BADRI
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Johor.
31 Januari 2022