KUALA LUMPUR, 1 Feb – Perikatan Nasional (PN) dijangka memuktamadkan senarai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu depan.

Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbincangan mengenai perkara itu sudah diadakan bersama parti-parti rakan komponen melibatkan PAS dan Gerakan.

“Senarai calon dah ada, tapi kita belum putuskan siapa yang nak dipilih. Dalam masa seminggu kita akan putuskan,” katanya kepada pemberita di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, Menara PGRM, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Resepsi Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Mohd Faizal Azumu; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Cha.

Ketika ditanya calon yang akan mengambil alih tempatnya di DUN Gambir, Muhyiddin menyifatkan, PN Johor mempunyai terlalu ramai calon berkelayakan di negeri itu untuk dipilih.

“Tunggu sahaja, Johor ramai calon yang berkelayakan kadang-kadang susah nak pilih sebab ramai yang layak,” katanya.