JOHOR BAHRU, 1 Feb – Semoga Tahun Harimau yang disambut sempena Tahun Baru Cina kali ini membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada kita semua.

Itu kata Presiden BERSATU yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut mendoakan semoga Tahun Harimau menjadi simbol kekuatan, keberanian dan kecekalan rakyat Malaysia.

“Untuk berhadapan dengan cabaran hari ini dan hari-hari mendatang khususnya pandemik Covid-19 yang masih membelenggu kehidupan kita,” katanya menerusi hantaran sempena perayaan Tahun Baru Cina dimuatnaik dalam laman Facebooknya.

Muhyiddin berkata, sambutan Tahun Baru Cina bukan sahaja sangat bermakna kepada kaum Cina, tetapi juga rakyat Malaysia berbilang kaum.

Ini kerana katanya, seluruh rakyat turut meraikannya menerusi amalan makan besar, rumah terbuka atau aktiviti kunjung mengunjung.

Ujarnya, suasana sambutan perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini juga sudah kembali seperti sebelum pandemik COVID-19.

“Kalau pada sambutan tahun lalu, tradisi makan besar malam sebelum perayaan hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja, tahun ini tidak lagi.

“Kita sudah boleh makan besar bersama-sama ahli keluarga mahupun adik beradik dalam jumlah yang lebih ramai dan mengadakan aktiviti ziarah serta majlis resepsi,” katanya.

Muhyiddin berkata, perkembangan itu merupakan hasil daripada usaha gigih kerajaan memastikan setiap rakyat menerima suntikan vaksin bagi mencegah penularan COVID-19.

“Program pemberian vaksin secara besar-besar menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan Februari tahun lalu, menyaksikan sehingga kini lebih 97 peratus penduduk dewasa sudah menerima dos lengkap.

“Kejayaan program ini membolehkan hampir semua sektor sosial dan ekonomi dibuka sepenuhnya termasuk kebenaran mengadakan majlis-majlis keramaian seperti majlis kahwin dan kenduri-kendara,” katanya.

Dalam hantaran tersebut, beliau memberitahu pelbagai syor MPN yang telah terbukti berjaya merancakkan semula aktiviti ekonomi negara.

Selain itu, bekas Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat agar tidak lupa atau lalai dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menjadi amalan dan budaya hidup.

“Percayalah kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina atau apa sahaja perayaan mahupun majlis keramaian tidak sedikit pun terjejas mahupun terganggu walaupun diraikan dengan SOP yang ketat.

“Sebaliknya majlis-majlis sedemikian menjadi lebih selamat dan lancar kerana kita sentiasa akur dan patuh kepada SOP yang diperkenalkan demi kebaikan dan keselamatan bersama,” katanya.