MUAR, 3 Feb – Jentera Perikatan Nasional (PN) perlu berusaha lebih keras bagi memastikan pengundi yang berada di luar negeri ini pulang untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata usaha berkenaan perlu dilakukan bagi membolehkan PN menang dalam PRN Johor.

“…kita kena tarik pengundi luar, ARMADA boleh fokus kepada anak muda manakala Srikandi pula pada wanita,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, malam tadi.

Wan Saiful berkata, PRN Johor begitu penting kerana keputusannya walaupun di peringkat negeri tetapi bakal memberi implikasi di peringkat Persekutuan.

“Walaupun yang dibubarkan itu adalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sasaran sebenar UMNO adalah Parlimen dan kerajaan di Putrajaya. Sebab itulah kita kena letak keutamaan yang betul dalam diri dan perjuangan kita,” katanya.

PRN Melaka pada tahun lalu, peratusan keluar mengundi yang rendah telah memberi kelebihan kepada UMNO dan sekutunya sekali gus membawa kepada kemenangan Barisan Nasional (BN).

Keadaan yang sama akan berlaku di Johor sekiranya peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRN berkenaan dan akan memberikan keuntungan serta kemenangan selesa untuk UMNO.