MUAR, 3 Feb – Jentera-jentera BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) perlu mempersiapkan diri dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi supaya tidak lagi menggunakan modal-modal ceramah yang memburukkan lawan.

Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Muar, Zarina Hassim berkata, ini kerana sentimen seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai perompak dan pencuri yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah tidak sesuai lagi.

“Sentimen Najib perompak, pencuri kita dah guna pada PRU-14, tetapi pada ketika ini sentimen itu pada pendapat peribadi saya sudah tidak relevan.

“Jadi saya menyeru jentera-jentera persiapkan diri masa kempen supaya tidak memburukkan pihak lawan. Malah, (sebaliknya) kita ketengahkan apa kita buat, apa kita laksana untuk kebaikan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, malam tadi.

Program itu dihadiri Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Menteri Luar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Saifuddin Abdullah.

Zarina berkata, Srikandi Bahagian Muar khususnya tidak pernah menunggu saat pilihan raya muncul untuk mereka bergerak tetapi telah bermula sejak awal dalam mendekati dan membantu masyarakat.

“Program Srikandi yang kami sering buat dari awal dahulu sampai sekarang tak henti-henti untuk menaik dan memperkenalkan PN di Parlimen Muar.

“Kita perlu bangkit kerana sudah tiba masa kita berperang. Namun bukan mudah nak merealisasikan kemenangan tanpa kerjasama dan penyatuan akar umbi kerana tanpa akar umbi kita tidak boleh menang,” katanya.

Zarina turut berkongsi beberapa program sayap parti itu selama ini antaranya membantu komuniti usahawan wanita untuk menjadi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Teman Tekun Nasional di kawasan itu.