MUAR, 3 Feb – BERSATU mengakui turut sukar untuk mentafsir undi golongan muda yang pertama kali akan terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kehadiran pengundi dalam kalangan golongan itu terutama mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun bukan sahaja memberi cabaran kepada BERSATU bahkan semua parti bertanding.

Katanya, tiada lagi parti boleh mendabik dada dengan menyatakan mereka memiliki pengundi tetap yang akan memilih parti disertai walau apa cara sekalipun kerana pengundi muda yang akan menjadi penentu dalam PRN Johor.

“Pengundi muda adalah satu kumpulan yang membawa cabaran kepada semua parti, kita kena tunjuk kesungguhan dan keikhlasan untuk mendekati mereka dan buat tawaran bermakna kepada anak muda.

“Ini satu perkara positif untuk demokrasi dan politik dalam negara, selama ini ada parti yang boleh kata dia selesa ada pengundi tegar yang macam mana pun akan undi dia.

“Tetapi dengan anak muda ini kita tak boleh baca kerana ada kemungkinan mereka undi pihak A, undi B dan ada kemungkinan juga tidak mengundi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, malam tadi.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan pertambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

Sehubungan itu, Wan Saiful berkata, tugas berat kini diberikan kepada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan sayap Pemuda PN untuk merangka strategi dalam mendekati golongan itu.

Malah kata beliau, PN juga akan membariskan calon-calon yang seimbang dalam PRN Johor iaitu terdiri daripada golongan itu, wanita, individu berlatar belakang profesional dan calon yang berpengalaman.

“Kita dah dapat nama daripada peringkat negeri dan parti gabungan dalam PN, terdapat beberapa proses yang perlu dilalui dan kita kena ingat bahawa kita dalam PN, jadi PN yang akan buat keputusan itu.

“Selain itu, suasana di Johor agak berbeza, negerinya luas dan demografi yang pelbagai jadi sudah tentu strategi kita pasti berbeza. Kita ada pengalaman di Melaka yang kita belajar dan pasti ada tambah baik di Johor,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya berharap terdapat kelonggaran dapat diberikan semasa tempoh kempen PRN Johor untuk memastikan semua parti boleh menyampaikan mesej mereka kepada rakyat dalam cara paling berkesan.

Meskipun mengakui kaedah dalam talian perlu diberi keutamaan, Wan Saiful berkata, ramai rakyat masih mahu ceramah umum dan kaedah rumah ke rumah dibenarkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).