MUAR, 4 Feb – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan sikap Datuk Seri Najib Razak yang didakwa membangkitkan perkara yang telah selesai.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, Najib membangkitkan beberapa perkara yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah melibatkan gabungan itu, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Menurut bekas Perdana Menteri itu, tindakan Najib yang mengungkit kembali isu PRN Sabah yang sudah lama selesai tidak akan membantu ke arah kestabilan negeri itu dan negara.

“Saya tak tahu dia nak korek apa cerita, saya tak tahu apa muslihat dan matlamat dia (melainkan) kalau tidak ada niat yang jahat.

“Menimbulkan perbalahan ketidakstabilan ini tak membantu negara. Sepatutnya dalam situasi ini dia membantu untuk mewujudkan kestabilan bukan mempersoal perkara yang sudah sah dari segi Perlembagaan negeri dari sudut apa sekali pun.

“Sebab itu di Sabah luar biasa, UMNO ada di sana bersama-sama kita di bawah Gagasan Rakyat Sabah (GRS), jadi saya tak faham dan saya dah jelaskan pendirian dan pandangan kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran Jualan Prihatin Rakyat di Dataran Pagoh Jaya, dekat sini pada Jumaat.

Turut hadir, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.

Muhyiddin berkata, tindakan bekas Perdana Menteri itu menghairankan kerana kerajaan Sabah telah berjalan dan berfungsi dengan cukup baik ketika ini melalui persefahaman yang terjalin.

Pada malam Khamis, Muhyiddin dalam satu hantaran Facebook membidas kenyataan Najib yang mendakwa pengkhianatan Bersatu dalam PRN Sabah menjadi punca Muafakat Nasional (MN) gagal.

Tegas Muhyiddin, dakwaan Najib yang menuduh Bersatu meletakkan calon melawan UMNO dalam PRN Sabah yang kononnya perbuatan khianat kepada UMNO adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, perincian pembahagian kerusi dibincangkan di peringkat jawatankuasa itu dan antara yang terlibat mewakili PN dan BN ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Datuk Seri Hajiji Noor.

Bagaimanapun, Najib dalam reaksi balasnya meminta agar Muhyiddin tidak memutar belit keadaan kerana niatnya sudah diketahui dari awal untuk menamakan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, UMNO disuruh menyerahkan kerusi kepada Bersatu dan diminta berkempen di kerusi yang dikorbankan, namun calon parti itu pula yang dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah sedangkan UMNO menang 14 kerusi manakala Bersatu 11 menang kerusi.