KUALA LUMPUR, 4 Feb – Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi membidas Datuk Seri Najib Razak berhubung pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2020 dengan berkata Najib tidak dapat memahami “bahasa”.

Muhyiddin berkata dia menyebut nama Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri Sabah ketika itu hanya sebagai cadangan.

Jelasnya, ia masih tertakluk kepada persetujuan daripada parti lain termasuk UMNO yang bekerjasama dengan BERSATU pada pilihan raya negeri.

“Najib mungkin tak faham bahasa saya. Bila saya kata UMNO tidak mencalonkan sesiapa sebagai calon ketua menteri Sabah sehingga habis kempen itu fakta.

“Takkanlah saya nak tunggu sehingga habis kempen baru nak dinamakan calon.

“Semasa saya hadir mengumumkan Hajiji sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Sulaman, saya beri bayangan ‘manalah tahu kalau rakan-rakan dalam PN, BN dan yang lain pun bersetuju, Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah’ .

“Saya ulang, saya beri bayangan kalau rakan-rakan lain bersetuju.

“Saya cakap secara berhemah. Kalau Najib tak faham bahasa saya, saya nak buat macam mana?” katanya.

Muhyiddin bertelagah dengan Najib selepas ahli parlimen Pekan itu menuduh BERSATU menyebabkan kegagalan pakatan politik Muafakat Nasional.

Najib mendakwa BERSATU telah mengkhianati UMNO dalam pilihan raya negeri Sabah.

Malam tadi, Najib mengkritik Muhyiddin, yang merupakan perdana menteri ketika PRN Sabah, kerana menamakan Hajiji sebagai pilihan PN untuk menjadi ketua menteri Sabah.