KUALA LUMPUR, 5 Feb – Selamat berjuang dan semoga berjaya kontinjen Malaysia!

Itu titipan semangat yang dilaungkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kepada kontinjen negara yang bertanding di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, yang dibuka secara rasmi malam tadi.

Penyertaan Malaysia di temasya berkenaan adalah kali kedua selepas negara membuat penampilan sulungnya di Pyeongchang, Korea Selatan 2018 sekali gus mencipta sejarah tersendiri bagi sebuah negara yang bukan beriklim sejuk.

Pada kali ini, Malaysia diwakili dua atlet iaitu Jeffrey Webb dan Aruwin Salehhuddin yang masing-masing dijadual menyertai sukan Alpine Skiing dalam acara slalom lelaki, slalom wanita dan giant slalom wanita.

“Malaysia sebuah negara tanpa salji, mencipta sejarah dengan penampilan pertama di Sukan Olimpik Musim Sejuk empat tahun lalu di Pyeongchang 2018 di Korea Selatan menerusi Julian Yee dan Jeffrey Webb.

“Saya cukup berbangga dengan pencapaian atlet negara, Jeffrey Webb dan Aruwin Salehhuddin yang akan berjuang di pentas Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

“Bagi Jeffrey, ini adalah penampilan kedua beliau dan penampilan pertama buat Aruwin sekali gus mencatat sejarah sebagai atlet wanita pertama negara yang akan beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk.

“Selamat berjuang kontinjen Malaysia!. Doa saya dan seluruh Keluarga Malaysia sentiasa mengiringi perjuangan atlet semua!,” kata Ahmad Faizal dalam satu hantaran di Facebook.

Aruwin, 17, dijadual turun beraksi pada Isnin ini dalam acara giant slalom wanita sebelum menyertai slalom wanita, dua hari kemudian.

Jeffrey, 23, pula dijadual turun beraksi dalam acara slalom lelaki pada 16 Februari ini.