PAGOH, 5 Feb – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mencadangkan 30 peratus calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menampilkan golongan muda yang berkaliber dan dekat dengan hati pengundi.

Ketua Armada BERSATU, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, 17 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan itu dilihat boleh memberi impak bagi menarik undi golongan muda di Johor.

“Bagi Armada sahaja, kita mencadangkan lima kerusi tetapi bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan semua parti dalam PN.

“Armada adalah sebahagian daripada komponen pemuda PN maka calon anak muda tidak semestinya daripada Armada sahaja, mungkin daripada Pemuda Pas, Gerakan dan mana-mana sayap-sayap bersekutu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Armada Pusat bersama Armada Bahagian di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh pada Jumaat.

Beliau berkata, calon yang akan diketengahkan oleh Armada terdiri daripada pemimpin belia masyarakat yang berpengalaman luas dalam menyantuni penduduk dan telah berbakti di kawasan mereka.

Selain itu katanya, terdapat tiga isu utama yang menjadi perhatian Armada dan dilihat menjadi tumpuan golongan muda iaitu pekerjaan yang bermaruah, pendidikan dan kelestarian alam sekitar.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kemungkinan kesukaran Armada untuk mendekati anak muda beliau berkata, sekiranya prosedur operasi standard (SOP) kempen PRN Melaka dilaksanakan bagi PRN Johor kali ini, dia mengakui SOP yang konservatif seperti tidak boleh memakai baju parti dan sebagainya, sukar bagi anak muda untuk mengenali PN.

“Ia menyukarkan kita untuk menyantuni orang muda, mereka yang pertama kali mengundi dan mungkin belum begitu kenal dengan PN,” katanya.

Tambah beliau, Armada berharap saluran rasmi turut membenarkan pemimpin muda tidak kira daripada mana-mana parti untuk berdebat mengenai isu semasa khususnya membabitkan orang muda.