HULU TERENGGANU, 5 Feb – Kerajaan memberi jaminan isu gangguan bekalan ayam dan telur di pasaran dapat diselesaikan akhir bulan ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kekurangan bekalan barangan itu berpunca akibat musim perayaan di samping masalah logistik dihadapi penternak.

“Bagi memastikan isu ini tidak berulang, kita mengarahkan pembekal menyediakan stok secara mingguan.

“Melalui kaedah ini, kita dapat memantau sekali gus mencari jalan alternatif jika bekalan dijangka berkurangan pada minggu seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Pasar Tani Kuala Ping, hari ini.

Rosol berkata, bekalan telur kini lebih stabil dengan sebanyak 91 peratus keberadaan barangan itu direkodkan di pasaran, kelmarin.

Katanya, penggunaan harian telur ayam dalam kalangan rakyat Malaysia tinggi iaitu kira-kira 30 juta biji sehari bersamaan purata sebiji bagi setiap individu manakala ayam pula dua juta sehari atau bersamaan 60 juta sebulan.