KUALA LUMPUR, 5 Feb – Pelajar bukan dari kelas peperiksaan yang mengambil keputusan untuk balik bercuti sempena Tahun Baharu Cina, baru-baru ini tidak dibenarkan kembali ke asrama.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pelajar terbabit perlu mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah masing-masing.

Beliau berkata, tindakan itu bagi memastikan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari dan Mac 2022 berada dalam keadaan terlindung.

“Kita mahu pastikan mereka (pelajar SPM) dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan teratur,” kata Radzi di laman Facebooknya hari ini.

Menurut Radzi, pihaknya akan terus memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama khususnya, dapat terus dipertingkat.

“Pada masa sama, kementerian sudah meningkatkan pemantauan di sekolah bagi memastikan segala SOP dipatuhi dengan baik dan kita dapat kurangkan risiko jangkitan Covid-19 di sekolah,” katanya.

Selain itu, Radzi turut mengingatkan ibu bapa agar tidak menghantar anak mereka ke sekolah minggu depan sekiranya terdapat gejala dan simptom berkaitan Covid-19.

“Untuk minggu yang akan datang, kita tahu minggu ini ramai ibu bapa yang membawa anak bercuti, balik kampung dan pelbagai aktiviti.

“Jadi, kami mohon jasa baik ibu bapa, sekiranya minggu depan apabila sekolah dibuka, jika anak menunjukkan gejala, pastikan mereka tidak ke sekolah.

“Ini penting bagi kita pastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan selamat dan dapat mengurangkan risiko jangkitan di sekolah. Apa yang penting kita memastikan sekolah dapat terus dibuka dalam keadaan selamat dan teratur,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), bagi tempoh 1 Januari sehingga 1 Februari lalu, sebanyak 8,451 kes atau 7.51 peratus daripada keseluruhan 118,238 kes Covid-19 membabitkan kluster pendidikan.

“Terdapat 303 kluster pendidikan di seluruh negara iaitu, 100 kluster membabitkan institusi pendidikan dibawah KPM, 86 kluster membabitkan institusi pendidikan bukan bawah KPM dan 117 lain-lain kluster,” katanya.