PARIT SULONG, 6 Feb – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa wujud satu kumpulan yang kononnya mahu mengembalikan UMNO kepada landasan yang betul.

Mendakwa dihubungi wakil mereka yang dinamakannya sebagai golongan ‘UMNO Soleh’, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kumpulan itu mempunyai sikap yang berbeza dengan pucuk pimpinan parti itu.

“Saya tak tahu apa nak panggil golongan ini. Kita katalah mereka ini “UMNO Soleh”. Ada beberapa tokoh ‘UMNO Soleh’ ini menghubungi saya menyatakan mereka sedang menyusun strategi untuk ‘membetulkan’ UMNO dari landasan yang salah.

“Jadi, mereka cadangkan saya tidak menyerang UMNO sebab mereka sedang buat kerja dari dalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah katanya, kumpulan itu hanya mendiamkan diri dan membisu terhadap kemelut dalaman yang dikaitkan dengan UMNO.

“Mereka ini perlu berlaku adil. Kenapa pula meminta supaya orang lain berhenti menyerang UMNO, sedangkan apabila penyokong kluster mahkamah dalam UMNO bersikap biadap terhadap terhadap kami mereka tidak menegur kebiadapan itu?

“Jangan tegur orang lain sahaja tapi tegurlah orang dalam UMNO itu juga,” jelas Wan Saiful lagi.

Semalam dalam Jelajah Penerangan Isu Semasa di DUN Semerah, Wan Saiful mendakwa wujud kumpulan dalam UMNO mahu melihat parti itu kembali ke landasan yang betul.

Justeru itu, katanya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk kumpulan itu bangkit dan mengetengahkan usaha mereka.