PONTIAN, 8 Feb – BERSATU Bahagian Tanjung Piai menafikan dakwaan bahagian itu terbubar susulan tindakan beberapa ahlinya keluar parti, pada malam Ahad.

Pemangku Ketuanya, Musa Khamis berkata, BERSATU Tanjung Piai masih berdiri teguh dengan sokongan 20 cawangan kerana hanya satu cawangan terbubar.

“Saya maklum mengenai bekas Setiausaha BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Hishamuddin Busri bersama empat ahli jawatankuasa umum keluar parti dengan alasan BERSATU sudah kehilangan hala tuju.

“Dakwaan kira-kira 300 ahli yang lain turut angkat kaki juga keterlaluan. BERSATU Tanjung Piai masih ada jawatankuasa dan 20 cawangan lain yang akan bergerak terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Rumah Bersatu Tanjung Piai, pada Isnin.

Musa memberitahu, BERSATU akan membentuk semula cawangan yang terbubar itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ( PRN) Johor.

Menurutnya, seramai 13 ketua cawangan BERSATU Bahagian Tanjung Piai menandatangani surat menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan BERSATU Tanjung Piai.

“Tujuh cawangan lain dijangka mengikut langkah sama untuk membuat perakuan ikrar setia bagi kekal dalam Bersatu.

“Isu lompat parti sudah menjadi asam garam tiap kali tiba pilihan raya. Kami akan membentuk semula cawangan yang terbubar itu bagi mempersiapkan jentera menghadapi PRN,” katanya.