BATU PAHAT, 8 Feb – BERSATU yakin dapat mempertahankan kembali 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mereka dalam PilihanRaya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keyakinan itu berdasarkan rekod pencapaian kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya yakin dengan gabungan PAS dan BERSATU atas nama Perikatan Nasional (PN), rakyat Johor akan membuat pertimbangan atas rekod pencapaian kami.

“Beliau (Muhyiddin) berdepan dengan dua krisis besar iaitu kesihatan dan ekonomi namun kerana kepimpinan yang kuat, berintegriti, mampu membawa negara kita keluar daripada pandemik (Covid-19) dan memulihkan ekonomi Malaysia, ini kenyataan yang saya telah ceritakan tadi yang tidak boleh mereka nafikan.

“Jadi, kalau kita mahu kerajaan yang kuat, berkredibiliti, yang berkhidmat kepada rakyat, yang prihatin kepada rakyat. Saya yakin mereka akan memberi peluang kepada PN,” katanya pada sidang akhbar selepas Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, Boo Chin Liong.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, PN merayu rakyat Johor supaya memberi mandat pemerintahan kepada gabungan itu yang terbukti berwibawa.

“Masa depan negeri ini biarlah ditentukan oleh rakyat Johor berasaskan fakta dan kejayaan-kejayaan yang telah dicatatkan oleh PN. Kami di sini berkhidmat kepada rakyat, mengukuhkan ekonomi dan memberikan kestabilan kepada negeri Johor.

“Berilah peluang kepada PN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat yang dapat mencerdaskan ekonomi sekaligus membawa lebih banyak pelaburan serta mencipta peluang pekerjaan untuk anak-anak di negeri Johor,” katanya.

Katanya, sekiranya kerajaan dipimpin di peringkat pusat dan negeri lemah serta dipimpin oleh golongan yang tidak berwibawa akan menghalang keyakinan pelabur ke negeri ini.

“Dewan Perniagaan Cina, ahli perniagaan dan komunitinya memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi menarik keyakinan pelabur ke negeri Johor. Sebab itu saya pesan ini bukan mengenai politik, ini adalah demi masa depan generasi kita,” katanya.

Pada PRU-14, BERSATU memenangi lapan kerusi DUN iaitu Gambir, Puteri Wangsa, Tenang, Kempas, Bukit Kepong, Bukit Permai, Larkin dan Permas, manakala tiga kerusi tambahan diperolehi selepas wakil rakyat UMNO di Sedili, Johor Lama dan Endau bertindak keluar parti untuk menyertai BERSATU.