KOTA TINGGI, 8 Feb – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengumumkan tarikh penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Timbalan Presiden BERSATU yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketika ini kementerian sedang menyiapkan memorandum jemaah menteri bagi permohonan peruntukan menganjurkan Sukma berkenaan.

Katanya, beliau yakin penganjuran sukan itu dapat diteruskan pada tahun ini namun senarai akhir acara-acara dipertanding belum diputuskan.

“Saya percaya kalau kita terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) tiada acara yang terganggu.

“Malangnya ia akan terganggu jika orang ramai tidak menjaga SOP dan ada jangkitan.

“Apabila ia berlaku akan merencatkan kemeriahan penganjuran tidak kira hiburan dan sukan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Siap Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (KRMSAU) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal memaklumkan, semua fasiliti Sukma Johor yang akan bermula pada 2024 perlu dijaga dan selenggara dengan baik tanpa perlu ditambah baik.