PUTRAJAYA, 8 Feb – Kerajaan diharapkan dapat memberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi memberi peluang kepada mereka yang terlibat untuk berkempen tetapi mengikut peraturan ditetapkan.

“Mengharapkan supaya ada kelonggaran untuk membolehkan sistem demokrasi dijalankan lebih telus dan mereka yang terlibat dalam pilihan raya diberi peluang berkempen tetapi ada batas tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mempengerusikan mesyuarat majlis berkenaan yang berlangsung di Kementerian Kewangan.

Ditanya mengenai pertindihan dengan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berhubung pembahagian kerusi, Muhyiddin memaklumkan ia akan diselesaikan.

“Perkara tersebut akan diselesaikan,” katanya ringkas.

Semalam, media melaporkan, pembahagian bilangan kerusi pada PRN Johor di antara setiap parti komponen di dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka selesai selewat-lewatnya hari ini bagi menyelesaikan beberapa masalah.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dilaporkan berkata, terdapat pertindihan di antara pembahagian kerusi, namun, akan diselesaikan segera oleh pasukan Setiausaha Agung yang mengetuai pasukan perundingan parti itu.

Beliau dipetik berkata, rundingan bersama Pas sudah selesai, cuma terdapat pertindihan dengan parti Gerakan, namun, ia tidak banyak dalam dua ke tiga kerusi.