KAJANG, 8 Feb – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri terus komited untuk memastikan lebih ramai golongan pekerja terutamanya dalam sektor perkilangan menerima suntikan dos penggalak Covid-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia selaras dengan usaha mendepani pertambahan kes yang semakin meningkat ketika ini dan mengelak daripada sektor industri terjejas dengan keadaan semasa.

Mohamed Azmin berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mengulangi pendirian tidak menutup sektor ekonomi.

“Dalam mesyuarat itu, Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) telah membentangkan keadaan semasa jangkitan Covid-19 dan mengenai varian Omicron. Perbincangan lanjut telah dibuat dengan pendekatan tertentu.

“Antara yang diputuskan ialah, KKM diminta untuk berbincang dengan pihak industri bagi meningkat jumlah penerima dos penggalak dalam sektor berkenaan bagi memastikan tiada penutupan aktiviti dalam sektor ekonomi.

“Jika perkara itu berlaku (penutupan sektor ekonomi), kesannya amat besar. Dalam mesyuarat MPN, Menteri Kesihatan maklumkan 53 peratus populasi rakyat negara ini telah menerima dos penggalak ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di fasiliti pengilangan Genetec Technology Berhad di sini, semalam.

Mengulas kaedah untuk memastikan pekerja industri menerima dos penggalak, Mohamed Azmin berkata, banyak kaedah boleh dilakukan termasuk seperti program pemberian vaksin Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Industri (PIKAS).

“Sebelum ini, PIKAS dilaksanakan bagi mengelakkan sektor industri, perkilangan dan pembuatan ditutup dan berjaya memberi suntikan vaksin kepada hampir dua juta orang,” katanya.

Melalui PIKAS juga katanya, sektor swasta telah memberikan sokongan dan mendokong segala usaha kerajaan termasuk mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sendiri ketika program itu berlangsung.