KUALA LUMPUR, 9 Feb – Antara strategi UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk membuang imej kluster mahkamah ialah dengan meletakkan muka-muka baharu sebagai calon, kata Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful berkata jangkaan itu berdasarkan laporan berita bahawa dengan muka-muka baru itu menunjukkan kononnya UMNO mempunyai imej baru.

Sedangkan katanya, kuasa tandatangan watikah calon hanya terletak di tangan Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Walaupun muka baru, semua calon UMNO tetap wajib menjadi budak-budak Zahid. Kalau tak sokong kluster mahkamah, mustahil Zahid akan beri watikah calon kepada mereka.

“Dalam kata lain, kluster mahkamah UMNO akan gunakan sepenuhnya kuasa watikah itu untuk pastikan semua calon di Johor adalah orang Zahid yang menyokong kluster mahkamah.

“Tidak mungkin Zahid akan calonkan kluster ‘UMNO soleh’ yang mungkin akan melawan dia nanti,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung kenyataan Ahmad Zahid yang menggunakan tiga kriteria utama pemilihan calon Barisan Nasional (BN) ketika PRN Melaka untuk memilih calon bertanding di 56 kerusi DUN pada PRN Johor.

Tiga kriteria itu adalah ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disenangi).

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata jika UMNO mahu berubah perlu membuang kluster mahkamah terlebih dahulu.

Beliau mendakwa UMNO sedang diperkudakan sepenuhnya oleh Zahid dan Datuk Seri Najib Razak untuk kepentingan peribadi mereka.

“Mengaku sajalah bahawa UMNO sedang diperkudakan sepenuhnya oleh Zahid dan Najib untuk kepentingan peribadi mereka.

“Kalau UMNO betul-betul nak berubah, bukan buang imej, tapi buang kluster mahkamah tu!” katanya.