PUTRAJAYA, 10 Feb – Kerajaan Sabah mencadangkan supaya warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri tetapi sudah lama menetap di negeri itu diberikan kad khas.

Menyifatkan cadangan Sabah itu sebagai baik, Setiausaha Agung BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun menegaskan kad berkenaan bukanlah pemberian kerakyatan atau status penduduk tetap, sebaliknya untuk mengetahui keberadaan golongan terbabit di negeri berkenaan.

Cadangan itu diusulkan oleh Kerajaan Negeri Sabah serta ia turut dibincangkan ketika mesyuarat pertama bagi Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) hari ini.

“Masalah di Sabah begitu sulit sekali, dia (warga asing) dah tinggal lama dan kalau nak hantar balik, dia dah 30 tahun duduk sini dan mungkin sudah ada tiga atau empat generasi di sini.

“Warga asing ini juga ada yang tidak mengetahui di mana kampung mereka. Mereka ini tiada kad langsung, tiada dokumen dan sebab itu kita nak selaraskan kad warga asing kepada mereka, supaya kita dapat sahkan mereka itu warga asing.

“Berikutan itu, mesyuarat tadi meminta supaya melakukan pendataan semula warga asing ini bagi membolehkan pemberian kad berkenaan dapat dilaksanakan seawal Mei ini,” katanya selepas mempengerusikan JKPWAS-INDUK, di Kementerian Dalam Negeri, hari ini. Turut hadir ialah Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Hamzah menambah, disebabkan warga asing berkenaan sudah tinggal di Sabah terlalu lama, pemberian kad berkenaan bertujuan mengurangkan permasalahan pada masa akan datang.

“Jika bapanya sendiri tidak tahu identitinya, bagaimana nasib keturunannya nanti. Jadi dengan adanya kad itu, sekurang-kurangnya mereka ini boleh diambil bekerja seterusnya mampu membayar yuran persekolahan anak-anak.

“Ini yang sepatutnya kita lakukan pada masa depan, kena ada sedikit sifat berperikemanusiaan. Kita tidak mahu masalah yang membelenggu penduduk di Sabah ini dibiarkan dan akan menjadi lagi teruk pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata dalam mesyuarat yang sama, turut dipersetujui ialah pindaan Ordinan Kelahiran dan Kematian di Sabah. Ia adalah mengenai isu pendaftaran lewat kelahiran yang sedang diteliti di peringkat akhir dan mempertimbangkan tempoh pendaftaran kelahiran daripada 42 hari kepada 90 hari.

Turut dipersetujui, pelaksanaan penguatkuasaan melalui operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negeri Sabah akan diteruskan dengan lebih giat bagi membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah.

Selain itu ialah perihal kekurangan pekerja asing, bayaran levi serta kebajikan pekerja berkenaan. Ahli mesyuarat bersetuju mempertimbangkan kemudahan yang khusus bagi Sabah untuk memastikan pembangunan di negeri berkenaan tidak terjejas dan terus membangun dengan pesat.

Mesyuarat berkenaan juga bersetuju mengenai cadangan penempatan semula masyarakat Pala’u untuk diteliti lebih lanjut di peringkat pegawai melalui Jawatankuasa Kerja serta meneliti daripada aspek dasar dan perundangan.