KUALA LUMPUR, 10 Feb – Hubungan diplomatik Malaysia dan Rusia yang terjalin lebih lima dekad terus diperkukuhkan menerusi perbincangan dua hala antara kedua-dua menteri luarnya.

Perkara tersebut disahkan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dalam kenyataan di Facebook sebagai merujuk perbualan telefon dengan rakan sejawatannya, Sergey Lavrov.

Menerusi perbincangan yang berlangsung kelmarin, mereka berdua turut berbincang mengenai bidang potensi kerjasama boleh diteroka antara kedua-dua negara berkenaan.

“Semasa perbualan itu, kami ada membincangkan peranan boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Bersama mengenai Pendidikan, Saintifik dan Kerjasama Teknikal dan Kebudayaan,” katanya.

Malaysia dan Rusia menjalinkan hubungan diplomatik moden susulan pemeteraian bersejarah melibatkan perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara berkenaan pada 3 April 1967.

Langkah tersebut menyaksikan Rusia mula membuka kedutaan besar di Kuala Lumpur pada April 1968 manakala Malaysia membuka canserinya di Moscow lebih tujuh bulan kemudiannya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, menerusi panggilan tersebut juga mereka membayangkan kemungkinan pelaksanaan kerjasama strategik antara pihak Rusia dan blok serantau ASEAN.

“Kami juga ada membincangkan kerjasama serius secara bilateral dengan platform Pertubuhan Bangsa Bersatu melalui pelbagai medium agensi di bawah badan dunia berkenaan,” jelasnya.

Negara terbesar di dunia itu mula menjalin hubungan dengan ASEAN apabila menyertai Dialog ASEAN-Rusia pada 1991 ketika Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN Ke-24 di Kuala Lumpur.

Jalinan itu dipertingkatkan melalui Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia Pertama pada 2005 juga di Kuala Lumpur sehinggalah menyaksikan pelantikan Duta Rusia ke ASEAN pada 2017 lalu.