KOTA KINABALU, 11 Feb – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyarankan rakyat di negeri ini tidak membuat andaian terburu-buru mengenai cadangan pemberian Kad Warga Asing di Sabah.

Beliau berkata, pemberian kad itu masih di peringkat cadangan dan akan dibincangkan lebih lanjut oleh kerajaan negeri sebelum keputusan muktamad dibuat.

Menurutnya, pemberian kad warga asing dan kad pekerja warga asing telah dicadangkan untuk menjadi dokumen standard bagi semua pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dikeluarkan sebelum ini kepada warga Filipina dan semua pekerja asing yang sah.

“Cadangan kad pekerja asing antara lain akan dikeluarkan kepada semua pekerja asing dalam sektor perladangan, pertanian, perikanan, pembuatan, pembinaan dan pembantu rumah.

“Kita perlu mewujudkan pangkalan data pekerja asing supaya ada rekod sistematik mengenai kehadiran mereka di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Sabah (JKPWAS-Induk) ditubuhkan berikutan saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk platform bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi menguruskan isu warga asing di negeri ini.

Jelasnya, cadangan itu tidak melibatkan pemberian kad pengenalan atau dokumen untuk memberikan warga asing taraf kewarganegaraan.

Beliau berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berazam untuk menyelesaikan isu pendatang tanpa izin yang berlarutan sejak sekian lama.

“Cadangan pemberian kad warga asing itu perlu penelitian rapi dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua termasuk parti politik, aktivis serta rakyat.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan negeri akan sentiasa berpandukan kepentingan rakyat dan negeri dalam membuat keputusan. Segala pandangan dan input daripada semua pihak akan diambil kira,” katanya.

Di peringkat negeri, beliau akan mempengerusikan Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKNS) manakala Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengetuai jawatankuasa kerja.

JKKNS terdiri daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM); Angkatan Tentera Malaysia; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara; Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan; Jabatan Ketua Menteri dan Majlis Keselamatan Negara sebagai sekretariat bersama.

“Pendirian kami, semua PATI mesti dihantar pulang dan hanya mereka yang bekerja secara sah di negeri ini akan diberikan kad pekerja asing. Pemeriksaan latar belakang akan dilakukan dan mereka yang mempunyai rekod jenayah akan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya.