JOHOR BAHRU, 11 Feb – Perikatan Nasional (PN) akan memastikan kesemua 56 calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mempunyai latar belakang ‘bersih’ tanpa rekod jenayah, kes mahkamah atau isu dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, calon-calon yang terpilih itu akan melalui proses tapisan ketat sebelum disenaraikan sebagai calon PRN.

“Kita akan pastikan calon-calon daripada semua parti komponen diteliti semua rekod mereka. Selepas itu baru kita umum secepat mungkin, mungkin minggu depan.

“Pembahagian kerusi akan dilakukan selepas kita mendapat kepastian (jawapan) daripada agensi-agensi berkaitan,” katanya selepas merasmikan Program Kotak Prihatin Kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Dewan Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), hari ini.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi PN, Pengarah PRN PN Johor itu berkata, proses tersebut masih belum dimuktamadkan kerana terdapat pertukaran kerusi pada saat akhir.

Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa PAS tidak berpuas hati dengan 15 kerusi yang diberikan pada PRN Johor, Hamzah yang juga Setiausaha Agung BERSATU menegaskan bahawa ia hanya khabar angin.

Sementara itu, Hamzah berkeyakinan tinggi PN mampu mengulangi kejayaan yang dilakar pada PRN Sabah, September 2020 dengan rakyat Johor akan memainkan peranan penting membantu PN kembali bangkit memimpin negeri ini.

“Rakyat akan bersama kita untuk membuktikan bahawa kita adalah yang lebih baik bagi mencapai kemenangan yang besar pada PRN Johor ini sekali gus mengulangi kejayaan PRN Sabah.

“Saya lihat sambutan hari ini cukup luar biasa, jika UMNO tak takut saya tak tahulah. Isu siapa punca Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan lagi isu penting kerana sudah dibubarkan. Yang penting adalah untuk pastikan kuasa itu akan kembali kepada PN,” katanya.

Katanya, sudah sampai masa untuk PN membuktikan sebagai pasukan yang selama ini tunduk dan diam untuk bangkit memberi tentangan habis habis-habisan.

Katanya, ada sesetengah pihak hanya pandai mengata PN dan parti komponen tetapi tidak sedar bahawa mereka yang mendatangkan masalah di Johor.

“Saya tahu kita akan capai kemenangan, kita akan buktikan kepada mereka yang angkuh, sombong dan tamak kuasa bahawa rakyat tidak mahu lihat mereka sebaliknya mahu kumpulan yang prihatin seperti PN.

“PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa beranggapan seluruh rakyat harus dibantu dan keprihatinan ini telah dibuktikan beliau semasa menjadi Perdana Menteri dahulu. Kalau rakyat mahu pemimpin yang memberi bantuan dan prihatin, berilah kemenangan yang besar buat PN. Ini adalah jihad rakyat demi membantu perjuangan parti,” jelasnya.