KUALA LUMPUR, 11 Feb – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan pelaburan bernilai RM350 juta sepanjang Minggu Pertanian Lestari di Expo 2020 Dubai.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, MAFI sebagai hos akan menerajui tema minggu itu di Pavilion Malaysia dari 21 hingga 26 Februari dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai agensi pelaksana.

Menurut Ronald, kementerian komited untuk mencapai sasaran pelaburan tersebut antaranya dengan memupuk hubungan dan perkongsian strategik bersama pemain-pemain global, terutama dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara-negara Timur Tengah bagi memacu pertanian lestari untuk kebaikan Malaysia serta dunia.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan 11 pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU), 50 potensi perniagaan, penyertaan daripada 20 Perusahaan Kecil dan Sederhana tempatan dan jabatan serta agensi di bawah MAFI pada minggu tersebut.

“Ini merupakan peluang menarik untuk kami menampilkan amalan pertanian terbaik, inovasi pintar, dan sumber asli kaya di Malaysia yang menyumbang kepada keselamatan makanan, penjanaan kekayaan, perlindungan alam sekitar, dan mata pencarian yang mampan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Ronald berkata, ekspo itu merupakan peluang terbaik untuk meningkatkan hubungan dua hala dan perdagangan antara Malaysia dengan UAE melalui pembangunan pertanian lestari seterusnya membawa ia ke peringkat yang lebih tinggi.

Kira-kira 2,000 pelawat dan delegasi dijangka mengunjungi Pavilion Malaysia sepanjang Minggu Pertanian Lestari itu melalui pelbagai program dan aktiviti yang disediakan seperti pameran, pelancaran produk, pertukaran dokumen, demonstrasi masakan dan produk, koktel rangkaian, perniagaan dan ceramah poket.

Kandungan program-program itu akan dijalankan berdasarkan lapan bidang tumpuan yang menampilkan kekuatan Malaysia dalam pertanian lestari termasuk kesejahteraan daripada biodiversiti; buah-buahan tanah tropika dan hasil sampingannya; pertanian bandar pintar dan penyelesaian pertanian pintar.

Bidang-bidang lain adalah sisa kepada kekayaan; masakan lestari; teknologi dan penyelesaian pertanian terkini serta peluang pelaburan untuk kelestarian pertanian.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Minggu Pertanian Lestari di bawah MAFI, boleh melayari https://www.mafi-events.com.

Bioeconomy Corporation yang ditubuhkan pada 2005 merupakan agensi pembangunan ekonomi utama bagi industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia antara lain berperanan memberi sokongan, kemudahan dan khidmat nasihat dalam bidang perniagaan, pelaburan, penyelidikan dan pembangunan serta infrastruktur kewangan.