KULAI, 11 Feb – Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan parti komponen Perikatan Nasional (PN) hampir diselesaikan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bulan depan.

Ketua Penerangan PN Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, pembahagian kerusi itu telah dibincangkan secara bersama dengan Pas dan Gerakan dan tidak timbul sebarang isu sepanjang proses perbincangan dijalankan.

Mohd. Solihan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, parti kini berada di peringkat akhir untuk menentukan jumlah kerusi serta kawasan yang akan ditandingi oleh setiap komponen.

“Kita kini dalam proses pembahagian yang hampir muktamad untuk parti komponen bertanding di kerusi mana. Selain itu untuk peringkat kedua kita juga sedang meneliti calon-calonnya.

“Ini kerana ada beberapa kawasan itu pilihan calonnya lebih daripada satu, perkara ini akan dibawa oleh jawatankuasa dan kemudiannya akan dipertimbangkan di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kali Ke-25 Persatuan Tuan Punya dan Pemandu Teksi Kulai di Dewan Utama Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kulai pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Ledang berkata, perbincangan dilakukan bersama juga melibatkan permintaan dan arahan pertukaran kawasan yang ditandingi.

Katanya, hasil perbincangan yang dilakukan, terdapat pertukaran kawasan membabitkan ADUN yang telah terpilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ke kerusi yang berlainan.

“Ada juga perubahan kepada cadangan kepimpinan untuk meletakkan calon yang dahulu bertanding di kawasan A akan bertanding di kawasan B, kita lihat perkara itu adalah biasa untuk dinamik perubahan yang lebih baik untuk parti dan kerajaan,” katanya.

Mohd. Solihan berkata, sepanjang perbincangan mengenai pembahagian kerusi dibuat, PN tidak keberatan untuk menawarkan kerusi dengan jumlah besar kepada Pas untuk PRN Johor pada 12 Mac ini.

“Memang kita adakan perbincangan dengan Pas dan Gerakan dan mereka (Pas) sudah maklumkan berapa kerusi yang mahu ditandingi, berapa yang diminta buat masa ini saya tidak boleh beritahu lagi.

“Tetapi kita memang memberi, kita ini (PN) adalah kumpulan yang bertimbang rasa, kita tidak sombong. Jadi, kita akan memberi kerusi yang agak banyak kepada komponen kita,” katanya.